Kata-kata Aluan Guru Besar

INDRANI

Salam Sejahtera dan Salam 1 Malaysia.

Syabas dan setinggi-tinggi tahniah saya ucapkan kepada Unit ICT SK Convent (1) Bukit Nanas kerana telah berjaya membangunkan laman web sekolah. Dalam era globalisasi, sekolah perlu bertindak balas terhadap pembangunan teknologi baru. Justeru itu, pembangunan laman web ini membuka ruang kepada sesiapa sahaja berinteraksi kearah pencapaian yang lebih cemerlang.

Sebagai peneraju sekolah ini, saya sentiasa berusaha bagi memastikan sekolah ini memiliki suasana dan iklim pembelajaran yang kondusif bagi memacu kecemerlangan. Walau bagaimanapun usaha ini memerlukan kerjasama dan komitmen semua pihak seperti para guru, PIBG, ibu bapa dan pelajar-pelajar. Selain itu, masyarakat hari ini juga perlu lebih bersedia untuk menggunakan segala teknologi terbaru di abad ke-21 ini, khususnya dalam meningkatkan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran.

Saya yakin bagi sebuah sekolah yang mementingkan kejayaan pelajarnya, para pendidik perlulah memiliki keterampilan bagi melakar pembangunan modal insan dalam kalangan pelajar SKCBN1 berlandaskan Falsafah Pendidikan Negara dan Wawasan 2020. Para pendidik harus mempunyai hala tuju yang jelas dan mengutamakan aktiviti peningkatan profesionalisme agar mampu memberi impak yang tinggi terhadap kecermelangan anak didik yang dikasihi dalam bidang akademik, kokurikulum dah sahsiah.

Saya juga berharap, saya dapat merealisasikan Kepimpinan Instruksional yang berkesan di sekolah ini dengan melaksanakan perancangan strategik secara menyeluruh, pengurusan kurikulum yang sempurna, menjalankan sistem penilaian dan pentaksiran yang konstruktif serta membudayakan perkembangan profesionalisme secara berterusan. Melalui program dan aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan sepanjang tahun, saya berharap agar SKCBN1 akan terus mengekalkan gelaran Sekolah Berprestasi Tinggi & sekolah yang terbaik dalam segala bidang lapangan yang diceburi baik di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mahupun dalam kalangan sekolah-sekolah di seluruh negara.

Pengajaran yang berkesan melibatkan proses memindahkan ilmu oleh guru di samping memperkembangkan potensi pelajar. Bagi pelajar pula, pembelajaran merupakan suatu proses mengumpul maklumat dan pengalaman secara berterusan. Dalam hal ini, pengintegrasian ICT dalam pengajaran dan pembelajaran diharapkan member kesan berganda kepada pelajar-pelajar bagi melahirkan pelajar yang kreatif dan inovatif. E-mel, e-pembelajaran, sidang video dan pelbagai inovasi teknologi membolehkan pelajar-pelajar mendapatkan meklumat dalam masa yang singkat.

Akhir kata, besarlah harapan saya agar maklumat sekolah dapat disebarluaskan melalui laman web sekolah dan teknologi masa kini dan semoga info yang dipaparkan akan dijadikan rujukan secara berpanjangan. Diharapkan agar semua pihak dapat menggunakan laman web ini dengan sebaik-baiknya sebagai wadah antara warga sekolah dan juga pihak-pihak lain. Dari semasa ke semasa program pengantarabangsaan melalui laman web sekolah dapat dikongsi bersama bagi menuju kecemerlangan dalam semua bidang.

Sekian, terima kasih.

INDRANI A/P LETCHUMANAN
GURU BESAR
SK CONVENT (1) BUKIT NANAS
KUALA LUMPUR
(SEKOLAH BERPRESTASI TINGGI)